Tuesday, September 21, 2010

Doa buat Ina... (berilah kekuatan kepadanya..)

Dugaan dan rahmat Allah didatangkan dalam pelbagai cara.. ketentuan Allah itu ada hikmahnya..

Minggu lalu saya telah menerima friend request dari seorang kenalan lama. Kami tidaklah begitu rapat, tetapi bagi saya, sekali berkenalan insyaAllah menjadi rakan sampai bila-bila. Saya sangat menghargai sahabat yang baik. Kami sempat berkenalan sewaktu matriks, cuma setahun. Selepas itu, saya ke fakulti perubatan dan Ina ke UKM Bangi.

Ina kenalan saya yang sangat cantik, sopan, lemah lembut dan ayu. Yang penting dia juga seorang yang baik ilmu agamanya. Tenang bila bersama2, wajah sentiasa tersenyum dan perbualan kami sentiasa disulami ketawa2 kecil. Ina sangat pemalu. Dan dia juga pernah menjadi pujaan rakan lelaki saya di fakulti perubatan... tapi mereka tiada jodoh bersama..

Sudah lama tidak mendengar berita dari Ina. Cuma sewaktu masih dalam masters program, kakak Ina , Kak Ida pernah buat attachment di Klinik Mata, jadi adalah cerita tengtang Ina. Tetapi setelah itu tiada lagi.

Walaupun sangat selektif dalam menerima friend request di facebook, request dari Ina saya terima tanpa berfikir panjang. Gembira dapat kembali bersua walau hanya di alam maya. Tapi hati saya tertanya2 sebaik saya meninjau dinding facebook Ina. Status updates nya menimbulkan persoalan di hati saya, tambahan lagi bila membaca komen2 dari rakan2 beliau yang sebahagiannya juga kenalan saya.

Tidak mahu terus berteka teki, saya dengan jujur bertanya Ina apa cerita sebenarnya. Sungguh, saya merasa sungguh insaf dan kerdil bila membaca keluhan hati Ina. Besarnya dugaan Allah kepada Ina.. tak dapat saya bayangkan bagaimana jika saya yang berada di posisi Ina.

Tamat pengajian, Ina menjadi guru dan ditemukan jodoh. Alhamdulillah, semuanya baik dan mereka dikurniakan 7 orang anak (6 perempuan dan seorang lelaki). Bagaimanapun, dugaan Ina mula hadir sewaktu Ina hamil anak ke-7. Ina tak sempat mencurahkan kasih sayangnya pada anak yang bongsu, yang Ina berikan pada saudara untuk menjaganya. Ina sakit..

Sekarang sudah 4 tahun Ina menderita.. dan sudah 2 tahun lebih Ina menjadikan hospital sebagai rumahnya. Ina selalu sunyi di hospital, jauh dari hilai tawa anak2. Ina cuma dapat melihat dan tersenyum. Ina sebenarnya menderita Motor Neuron Disease.. dan sudah 2 tahun terpaksa menggunakan ventilator. Ina tak dapat bergerak, dan tak dapat betutur dengan baik.. dan yang sebenarnya menjadi penghubung kami adalah anak saudara Ina..

“cuba bayangkan macamana kalau semut merah gigit dan kita tak boleh buat apa2? Ina tak boleh gerakkan tangan dan tak boleh bersuara.. Ina cuma boleh keluarkan bunyi dengan melagakan gigi2 Ina.. “

Menginsafkan.. bagaimana susah pun kita, ada orang lain yang lebih susah. Ada orang lain yang lebih derita, ada orang lain yang lebih besar dugaannya.. “maka, nikmat Allah yang manakah yang kamu dustakan?”..

Untuk Ina.. saya doakan kesejahteraan dan rahmat Allah buatnya. Semoga Ina terus tabah dan sabar menempuhi dugaan ini. Semoga sentiasa dipermudahkan segalanya buat Ina. Semoga anak2 menjadi anak2 yang soleh dan beriman, dapat terus mencurahkan kasih dan sayang dan bakti mereka kepada ibu yang tercinta.

Doa saya yang terbaik untuk Ina, dan saya amat berharap dapat menziarah Ina di Hospital Kangar suatu hari nanti. Saya mahu menggenggam tangan Ina, memeluk Ina dan mencium dahi dan pipi Ina. Biar kita sudah lama tidak bersua, kasih sayang saya buat Ina sebagai sahabat dan teman adalah selamanya..

No comments:

Post a Comment