14th Oct 2010 - the World Sight Day.
15th Oct 2010 - The White Cane Day.
dah lima tahun kami sambut World Sight Day, tapi tiada yang meninggalkan kesan semendalam yang saya rasai khamis lalu.
buat julung2 kalinya, sambutan world sight day kali ini melibatkan golongan yang sememangnya patut mendapat perhatian.. tetapi seringkali dilupakan. golongan cacat penglihatan.
alhamdulillah, kemunculan wakil Society of the Blind, Malaysia ke jabatan kami beberapa bulan yang lalu telah mencetuskan kerjasama ini. walau tidak dapat melihat sejelas kita yang normal, pemikiran dan pendapat mereka jelas punya visi yang jitu.
mulanya saya bukanlah sebahagian dari urusetia tetapi ditugaskan untuk radio-talk sahaja. atas beberapa sebab, saya juga diminta menyediakan questionnaire utk golongan cacat penglihatan ini. buntu juga, sehingga saya berfikir2, agaknya dalam bentuk apakah borang soalselidik ini boleh menjadi berguna? bukan hanya size font yang sepatutnya saya gunakan, malah saya terfikir adakah saya perlu meminta terjemahan ke bentuk braille? atau kami perlu menerumah secara lisan..
nyata.. kita cenderung mencipta alasan bila tidak sepenuh hati menerima tugasan. ikhlaskan niat... dan saya menghargai teman saya, Laila, yang walau usianya jauh lebih muda, sudah sekian lama menjadi pilihan saya berkongsi rasa dan pandangan. alhamdulillah, soalselidik berjaya dihasilkan, dan kini saya dalam proses menganalisanya.
selasa lalu, saya dan Presiden, Society of the Blind Malaysia, cawangan Terengganu telah dijemput untuk bercakap di Radio Terengganu. slot 30 minit itu sebenarnya terlalu singkat untuk bercakap tentang kebutaan baik dari aspek perubatan , mahupun untuk menekankan kepentingan persatuan dalam memperjuangkan hak mereka yang dipinggirkan. tapi saya berharap kami telah dapat sedikit sebanyak membuka mata mereka yang celik dan memberi kesedaran tentang masalah kebutaan.
kemuncak world sight day adalah sambutannya khamis lalu. YB dan pengarah kesihatan negeri menjadi jemputan khas untuk majlis perasmian. tetapi yang lebih menjadi jemputan khas pada saya adalah kanak2 cacat penglihatan dari dua buah sekolah, orang2 buta dari perkampungan Taman Rahmat, dan pesakit low vision yang mendapat rawatan di hsnz.
khamis lalu hari yang menginsafkan buat saya..
pagi2 lagi hati saya sudah sayu melihat mereka. menyentuh hati dan perasaan. sukarnya mereka bergerak di tempat yang asing sedangkan kita melangkah penuh gaya. teraba2 mereka untuk makan sedangkan kita adakala menerkam kelaparan dan seringkali menjuihkan bibir melihat hidangan yang tidak memberangsangkan. dan saat kita senyum dan ketawa melihat tayangan multimedia, mereka hanya diam, terpinga2 tertanya2 kenapa orang ketawa. dan saya ternyata tidak dapat mengawal manik2 jernih mengalir laju sewaktu tayangan khas dan persembahan oleh pihak Society of the Blind.
dek kerana hati yang mudah tersentuh, saya khuatir tidak dapat menjalankan tugas sebagai pengerusi/moderator forum "Persiapan Menghadapi Kebutaan - Esok Masih Ada" dengan baik. tetapi atas dasar professionalisme, tugasan diteruskan.
saya kagum dan sangat memandang tinggi salah seorang panelist, En Mah Hassan Omar, Presiden Persatuan Orang2 Cacat Anggota Malaysia, amat menyerlah dan berkarisma. walau tidak dapat melihat, beliau peguam berjaya dan melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara, berkali2 menjuarai kejuaraan Chess peringkat Asia (dan mengalahkan mereka yang celik), bertahun2 berkhidmat di Bursa Saham Kuala Lumpur, sebelum membuka syarikat sendiri. bercakap dari pengalaman sendiri, ternyata mudah memukau audiens. bicaranya jujur dari hati..
dan saya tidak menyangka forum itu akan menjadi hangat dengan berbagai isu dan persoalan. jelas, walau umumnya audiens kami mereka yang tidak dapat melihat, fikiran mereka tajam.. pandangannya bernas dan adakala terselit kritikan tajam. kalau saya menjadi wakil dari JKM, rasanya tak senang duduk juga. mujurlah, Pengarah JKM juga bukan calang2 orangnya.
dan di situ, saya merasa kerdil. walau kononnya doktor2 yang berada di situ adalah pakar-pakar, kita sebenarnya hidup dalam dunia dan kelompok kita yang kecil. siapa katak di bawah tempurung sebenarnya?
benarlah... ranjau dan duri membentuk jati diri. kapayahan, kesusahan dan keupayaan untuk berdiri sama tinggi dengan mereka yang normal ternyata membuat mereka semua lebih berkeperibadian dan berketrampilan... mungkin bukan dari segi rupa dan pakaian, tetapi pemikiran dan kebijaksanaan berkata2.
saya juga terharu atas kesudian adik Anuar yang sanggup datang dari Temerloh untuk bersama2 kami khamis lalu. beliau kini melanjutkan pelajaran di MSU dalam jurusan sains berkaitan perubatan sebagai pelajar out campus. walau memiliki keputusan SPM yang baik, beliau tidak dapat melanjutkan pengajian ke IPTA. beliau mempersoalkan diskriminasi terhadap golongan kurang upaya dalam merebut peluang pendidikan.
forum itu saya rasa akan lebih bermakna jika ada wakil dari Jabatan Pelajaran, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan mungkin YB sendiri. isu2 yang ditimbulkan tidak banyak berkisar kepada bidang perubatan tetapi merangkumi aspek pendidikan, perkhidmatan dan kepentingan sosial OKU.
pada hari itu, saya merasa diri dicelikkan golongan kurang upaya. dan saya terkenang kata2 Robert Burton - a dwarf standing on the shoulders of a giant may see farther than a giant himself..
No comments:
Post a Comment